Fakta Mengenai Penuaan Kulit

by - August 26, 2015



Memahami Punca-Punca Penuaan Kulit



Pendedahan Kepada Matahari

Kebanyakan masalah penuaan yang disebabkan oleh faktor luaran terjadi akibat pendedahan kepada cahaya matahari. Kerosakan yang terkumpul hasil pendedahan selama bertahun-tahun lamanya akan menyumbang terhadap penuaan pramatang kulit. Cahaya ultralembayung (UV) bertindak menguraikan kolagen dan elastin dalam kulit serta membantutkan penghasilan kolagen. Cahaya matahari juga menyebabkan timbulnya jeragat, bintik tetua, vena varikos pada wajah, kulit kasar dan keras, kedutan dan garis-garis halus, geleber, pigmentasi serta kanser kulit.

Faktor-Faktor Persekitaran Lain 



Pencemaran, asap dan cuaca yang keterlaluan merupakan salah satu punca utama penuaan kulit. Radikal bebas yang wujud dalam persekitaran tercemar juga boleh merosakkan sel-sel kulit.

Graviti

Tarikan graviti bumi (walaupun kita tidak menyedarinya) memainkan peranan penting dalam perubahan bentuk tubuh apabila meningkatnya usia. Ketika usia mencecah 50 tahun, kulit kian hilang keanjalannya dan kendur serta geleber mula berlaku pada muka dan bahagian badan yang lain.

Posisi Tidur 

Tidur dengan merehatkan muka anda pada posisi yang sama pada bantal setiap malam boleh menimbulkan kedutan atau lebih biasa dikenali sebagai garis-garis tidur. Lama-kelamaan, garis-garis tidur ini terus ‘terukir’ pada wajah anda buat selamanya.

Merokok 

Merokok mencetuskan perubahan biokimia tubuh yang menyebabkan proses penuaan kulit berlaku lebih cepat berbanding normal. Kajian menunjukkan bahawa kulit individu yang menghisap lebih 10 batang rokok setiap hari selama lebih 10 tahun akan cenderung untuk menjadi keras dan berkedut dengan teruk. Warna kulit yang kekuning-kuningan pada seluruh tubuh dan jari juga adalah kesan sampingan merokok jangka panjang. Perbuatan menggigit rokok di celah bibir secara berulang kali akan mengakibatkan garis-garis halus dan kedutan pada wajah terutamanya di sekeliling bibir dan dagu.

Tanda-Tanda Awal Penuaan

Kulit, yang meliputi 16-18 peratus berat badan, ialah organ tubuh manusia yang paling besar dan paling jelas dilihat.
Bagi wanita, penampilan dan penjagaan kulit yang sempurna merupakan rahsia kelihatan menarik. Salah satu faktor yang menekan wanita ketika memanjat usia ialah apabila melihat perubahan kulit mereka, bermula daripada garis-garis kedut yang halus. Malahan, kulit akan kehilangan ketegangan dan kegebuannya.Namun begitu, anda kini boleh menarik nafas lega kerana pelbagai kaedah telah tersedia bagi menjamin kesihatan kulit serta memperbaiki sebarang kerosakan yang telah berlaku. Langkah pertama dalam usaha mengekalkan kejelitaan kulit adalah dengan memahami sepenuhnya anatomi kulit anda.

Ciri-Ciri Penuaan Kulit

Dengan usia yang semakin meningkat, lapisan bawah kulit akan melalui perubahan seperti:
Penipisan
Kadar penghasilan sel yang semakin perlahan pada lapisan sel basal epidermis menyebabkan ia mula menipis. Akibatnya, kulit akan mengecut dan mudah berkedut.

Gelebeh

Apabila kulit semakin berusia, kadar penghasilan elastin dan kolagen yang semakin kurang menyebabkan ia lebih mudah menggeleber. Kulit yang lebih tua juga cenderung dipengaruhi graviti; gelambir pada rahang dan kawasan bawah mata adalah contoh kesan tarikan graviti terhadap kulit.

Kedut 

Bermula apabila lapisan kolagen kulit, satu rangkaian padat fiber yang memberi kekuatan dan ketegangan pada kulit; mula menjadi lemah dan terurai. Lapisan kolagen kulit ini akan 'runtuh' dan tidak lagi berkemampuan menyokong lapisan-lapisan kulit di atasnya, menyebabkan bahagaian yang tidak rata di atas permukaan kulit muncul sebagai kedutan.

Bintik Tetua 

Sel-sel pigmen (melanosit) akan terhasil dengan lebih banyak dan tertumpu di beberapa kawasan tertentu, seterusnya membentuk bintik tetua atau jeragat. Bahagian yang sering terdedah pada cahaya matahari, umpamanya bahagian belakang tangan, lebih cenderung mengalami masalah bintik tetua.

Kekeringan

Kulit yang lebih tua mempunyai kelenjar peluh dan minyak yang kurang berbanding kulit muda. Akibatnya, kulit lebih mudah mengidap masalah berkaitan kekeringan seperti kulit yang keras, mengelupas dan gatal.

Vena Varikos 

dalam kulit tua dan nipis akan sentiasa membengkak dan lebih mudah pecah serta lebam. Masalah ini dikenali sebagai vena varikos.

You May Also Like

0 Comments

Powered by Blogger.