13 April 2009

Festival fesyen F1


SEMPENA perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Malaysia yang bermula pada 3 April lalu dan berakhir hari ini, pelbagai acara diadakan termasuk Festival Fesyen Stylo Kuala Lumpur.

Seperti demam F1, fesyen juga mempunyai ramai pengikut dan penggemar.

Festival ini bertujuan memperkenalkan pereka fesyen tempatan selain pertunjukan fesyen Stylo juga menjemput pereka fesyen dari luar negara yang berbakat besar.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya, apakah makna stylo? Dalam istilah fesyen, ia menggambarkan stail, bentuk atau potongan yang mempunyai gaya sendiri, menarik dan mengikut peredaran masa terkini.

Dalam konteks ini, festival ini menjadi medan bagaimana busana-buana yang diperagakan mampu menjadi fesyen yang hebat di peringkat antarabangsa.

Turut diadakan, Festival Muzik Antarabangsa Sunburst KL 2009, KL Vintage & Classic Car Concours, KL Design Week 2009, Minggu Fesyen Pavilion Pit Stop, F1 Gala Dinner, KLGP City Weekend Festival dan Speed Zone Festival.

Presiden SKLFF, Datuk Nancy Yeoh, berkata festival fesyen Stylo adalah antara acara terbaik dan terbesar di Malaysia yang dapat mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Tidak seperti pertunjukan fesyen lain yang begitu terhad, Festival Fesyen Stylo berbeza kerana ia juga merangkumi pelbagai aspek lain termasuk bidang komersial.

Uniknya, festival kali ini berlangsung di Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur yang menjadi tarikan pelancong.

“Festival berkenaan bukan hanya menonjolkan koleksi pakaian semata-mata malah ia merangkumi semua aspek dalam industri fesyen. Ia membabitkan semua termasuk koleksi kasut, aksesori, dandanan rambut, solekan, peragawati dan peragawan,” katanya.

Nancy yang juga Pengarah Urusan RAPR Mileage Communications berkata, festival berkenaan akan dipersembahkan tiga dimensi iaitu pameran penaja, parti hebat dan dihadiri tetamu.

“Selain mengetengahkan pereka fesyen tempatan, pertunjukan fesyen Stylo juga menjemput pereka fesyen dari luar negara yang berbakat besar,” katanya.

Antara jenama yang dan pereka fesyen terbabit dalam acara berkenaan ialah Venie Tee, Alvin Tay, Karl Ng, Jonathan Cheng, Bill Keith, Khoon Hooi, Melinda Looi, Tom Abang Saufi.

Jenama lain yang terbabit dalam Festival Fesyen Stylo ini ialah British India di samping jenama kereta mewah Mercedes-Benz akan dipersembahkan pada Malam Anugerah Stylo Mercedes-Benz.

“Festival ini turut menjadi landasan kepada pereka fesyen bersatu dan menonjolkan hasil kreativiti masing-masing,” katanya.

Sementara itu, acara pra pembukaan festival ini berlangsung di Hap Seng Star, mengetengahkan pelbagai gaya rambut oleh Winnie Loo- A Cut Above yang menggunakan konsep kreatif yang unik. Walaupun agak mustahil digayakan pada hari biasa, gaya rambut ini sesuai untuk majlis bertema.

Pembukaan festival ini yang berlangsung gilang-gemilang di Tasik Perdana mempamerkan koleksi jenama antarabangsa BritishIndia yang bertemakan ‘Kemewahan Raj’.

Bukan sahaja unik dengan tema pakaian dramatik, ia juga sesuai untuk budaya negara yang mengutamakan konsep pakaian sopan.

Tidak ketinggalan, kehadiran pereka-pereka fesyen muda seperti Hazeer Wahid, Rizman Ruzaini dan Amir Luqman di bawah Persatuan Pereka Bumiputera (BDA) pada acara peragaan Grand Prix dengan koleksi pengantin wanita berkonsepkan budaya Asia.

Kemuncak festival ini ialah pada malam gala anugerah Mercedes-Benz yang turut menjemput tiga pereka terkenal Sepanyol, Agatha Ruiz de la Prada, Maria Lafuente, dan Angel Schlesse.

Ternyata, festival ini berjaya mempertontonkan busana indah dan mempesona ilham tempatan dan luar negara.


No comments:

Post a Comment

Pinkygroupsaid

Si peminjam Hati Tinggalkan Tapak

Popular

Total Pageviews