15 April 2009

Erti kecantikan bagi bintang Hollywood dan Indonesia


WAJAH dan rambut sama penting dalam penampilan seseorang wanita. Bagi golongan Hawa, kedua-duanya adalah aset yang saling melengkapi dan harus sentiasa diberi perhatian.Namun bukan semua wanita berpeluang memiliki kulit dan rambut yang cantik secara semula jadi. Sebilangannya terpaksa melakukan usaha tambahan melalui rejim penjagaan yang teratur dan berterusan.

Rambut misalnya, perlu dirawat dan dirapi kerana individu yang sering mengambil berat mengenai penjagaannya pasti akan dianugerahkan dengan rambut yang cantik, berkilau, hitam dan berseri.Rambut yang sihat bukan sahaja mampu membuatkan seseorang tampil cantik, bahkan diri akan berasa berasa lebih hebat kerana rambut adalah refleksi diri.

Bertemu duta Pantene India
Aktres Bollywood terkenal, Katrina Kaif, yang pernah dinobatkan sebagai wanita paling seksi oleh majalah People, merupakan antara yang bertuah kerana dianugerahkan dengan rambut panjang yang hitam berkilat dan bermaya.

Cantik, petah berkata-kata dan berkeyakinan tinggi melengkapkan lagi pakej untuk beliau dipilih sebagai duta syampu Pantene bagi India.

Dengan susuk tubuh yang menawan, tinggi lampai, tidak terlalu gemuk dan tidak pula terlalu kurus, aktres ini mungkin boleh menjadi contoh kepada anak gadis yang obses dengan tubuh kurus melidi.

Lupakan hal gelaran aktres paling seksi itu kerana Katrina mahu berkongsi sedikit pengalaman tentang rejim penjagaan rambut beliau.

Aktres ini percaya bahwa rambut memainkan peranan penting dalam pembentukan imej seorang wanita.

Justeru katanya, setiap wanita harus menitikberatkan soal penjagaan dan memperuntukkan masa untuk perawatan rambut.

"Sebagai pelakon saya kerap melakukan pengambaran di luar membuatkan rambut saya sering terdedah kepada sinaran matahari dan penggunaan alat pengering rambut yang kerap.

"Sebab itu saya berusaha melakukan yang terbaik dalam rejim penjagaan rambut. Selain rawatan di salon, saya juga amat menitikberatkan pemilihan syampu agar ia tidak merosakkan rambut," katanya pada sesi temu bual sempena Persidangan P&G Beauty Lagoon di Kerala, India, baru-baru ini

Katrina juga tidak percaya pada amalan bertukar-tukar jenama produk penjagaan rambut.

Sebab itu katanya, dari dulu dia setia pada Pentene malah sebelum dilantik sebagai duta jenama tersebut lagi.

"Satu lagi amalan tidak sihat yang saya lihat dilakukan oleh rakan-rakan saya ialah mencuci rambut dengan syampu di hotel setiap kali menginap di hotel.

"Sepatutnya kita harus membawa syampu kita sendiri untuk memastikan rambut sentiasa segar dan terpelihara," ujarnya.

Selepas sesi temu bual tersebut, Katrina telah dipertemukan dengan Pakar Pantene Sedunia (Global Pantene Expert) yang juga pendandan rambut terkenal Hollywood, Sam McKnight.

McKnight berkesempatan berkongsi pengalaman dengan Katrina tentang satu kajian pengguna yang mendapati 77 peratus wanita di dunia mengakui mengalami masalah rambut rosak.

Kata pendandan rambut terkenal itu, perkara tersebut terjadi akibat pancaran sinar matahari, rawatan kimia dan kerosakan akibat cara sikat rambut yang salah dan penggunaan pengering rambut yang kerap.

"Salah satu kesan yang nyata ialah rambut tampak tidak bermaya menjadi semakin kusam, sukar diurus dan berselerak dari setiap sudut. Manakala rambut yang sihat pula lebih ringan dan terurus sekali gus memberikan sinar pada penampilan rambut tersebut," kata McKnight sambil memuji rambut Katrina yang bukan saja nampak cantik bahkan sihat.

Bagi Katrina pula, rambut kusam bukanlah satu pilihan untuknya. Baginya, dia harus memastikan rambutnya bersinar setiap masa dan itulah yang terjadi.

Sementara itu, bagi aktres Indonesia yang terkenal melalui lakonannya dalam filem Heart, Nirina Zubir kesihatan rambut antara yang mendapat perhatian dalam rejim penjagaan kecantikannya walau sesibuk manapun jadual hariannya.

Beliau yang ditemui pada majlis makan malam yang sama mengakui sejak menjadi artis, rutin hidupnya sedikit sebanyak turut berubah.

Dia perlu memastikan kesihatan serta kecantikan berjalan seiring dan berada pada tahap optimum.

Bahkan disebabkan komitmen beliau pada penjagaan kulit, Nirina dipilih sebagai duta bagi produk penjagaan wajah, Olay White Radiance untuk Indonesia.

"Pemilihan sebagai duta adalah satu penghormatan untuk saya sebagai anak seni di Indonesia. Sebagai duta produk saya berpeluang melihat budaya dan cara hidup di negara lain.

"Malah sejak menjadi duta Olay, saya berpeluang bertemu dengan duta Olay dari negara Asia lain seperti Melissa dan Belinda dari Malaysia untuk penggambaran iklan yang berlangsung di Thailand tidak lama dahulu," jelas Nirina yang juga menjadi jurucakap untuk produk tersebut sejak dua tahun lalu.

Selain iklan, Nirina juga terlibat secara tidak langsung dengan aktiviti promosi Olay yang berlangsung di dalam dan luar negara.

Sebagai aktres katanya, dia perlu utamakan penjagaan kulit terutama wajah.

"Apabila umur semakin meningkat, kulit perlukan lebih penjagaan dan sebab itu saya memilih Olay White Radiance yang terbukti berkesan untuk menjadikan kulit lebih anjal, cerah dan sekata," katanya yang tidak gemar mengenakan sebarang solekan jika di luar set penggambaran.

Biar pun banyak berkunjung ke negara-negara luar, jati diri Nirina sebagai wanita Indonesia tetap tidak akan terhakis.

Sebagai bukti beliau turut mengamalkan pengambilan jamu termasuk minum air kencur dan madu untuk kesihatan dan kecantikan kulit.

Selain itu, dia turut mengamalkan minum air suam sebanyak lapan gelas sehari.

"Saya juga akan pastikan mencuci muka sebelum tidur dan untuk kesihatan badan saya akan berenang dan melakukan senaman," katanya yang bakal menamatkan zaman bujang bersama pemain gitar kumpulan Cokelat, Ernest, bulan depan.



0 comments:

Cuba Klik tengok apa jadi!